ALLAH berfirman yang bermaksud: “Orang beriman
dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.
Ketahuilah! Dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah al-Ra’d, ayat 28)
Hakikatnya ketenteraman hati sentiasa menjadi dambaan
setiap insan. Tatkala persoalan hidup bertambah kompleks dan beban masalah
seharian yang meningkat dari sehari ke sehari, ketenteraman hati menjadi
semakin jauh dan sulit pula untuk digapai dan diperoleh setiap insan yang mengharapkannya.
Kebanyakan manusia hari ini berorientasikan kebendaan dan kepentingan peribadi
masing-masing. Bagaimana kompleksnya persoalan hidup yang melanda
diri dan walau semakin berat masalah yangterpaksa ditanggung, apabila
dihadapi dengan roh keimanan yang kental berserta amalan sentiasa
mengingati Allah iaitu zikrullah, perwatakan, pergaulan dan ibadat, nescaya
ketenteraman hati akan mewarnai keceriaan hidup sepanjang masa.
Jelas daripada pengertian ayat di atas terapi bagi orang beriman
agar hati mereka menjadi tenang tenteram dan tidak pula
gundah-gulana dalam melayari bahtera mengharungi gelombang hidup yang membadai
dengan memperbanyakkan zikrullah. Dengan kata lain, zikrullah hendaklah
sentiasa mengingati Allah ketika suka mahupun duka, di sudut hati atau
benak fikiran, melalui lisan dan amal perbuatan.
Mengenai fadilat dan keistimewaan zikrullah, Allah memerintahkan
setiap Muslim sentiasa berzikir kepada-Nya seperti firman-Nya dalam surah Al
Ahzab, ayat 41-42 bermaksud: “Wahai orang beriman (untuk bersyukur kepada
Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan
sebanyak-banyaknya. Bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.”
Rasulullah tidak ketinggalan
menggalakkan setiap Muslim merebut kesempatan hidup di dunia dengan
memperbanyakkan zikrullah sebagai tiket memasuki taman syurga yangpenuh
kenikmatan.
Sabda Baginda yang bermaksud: “Apabila kamu melewati
taman syurga, hendaklah kamu ikut sama menikmatinya.” Sahabat bertanya: “Apakah
itu taman syurga, wahai Rasulullah?” Ujar Baginda: “Ialah perhimpunan zikir.”
(Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Berdasarkan nas suci itu, dapat disimpulkan amalan zikrullah
amat digalakkan dalam Islam. Selain itu, zikrullah dianggap antara amalan
menyerlahkan kesempurnaan identiti seseorang Muslim yang bertakwa dan
juga sebahagian ciri Ibadur Rahman yang sentiasa membasahkan lidah
mereka dengan zikrullah dan doa yang tidak putus kepada Allah. Pendek
kata, zikrullah petanda kepada bertakhta iman di hati dan juga
bebasnya Muslim daripada belenggu sifat nifaq dan fasik yang tercela.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.